Disleksia Bukan Penyakit

Bukan penyakit

"DULU anak sulung saya, Zar Amsyar, 10, gagal menyelesaikan soalan mudah terutama subjek Matematik. Saya mula sedar sejak usianya mencecah tujuh tahun. Lantas saya dan isteri mencari maklumat berkaitan untuk mengatasi masalahnya. 

“Malah, Zar Amsyar juga sering mendapat nombor corot dalam kelasnya. Kemudian baru kami menyedari dia menghadapi masalah disleksia,” itu luahan pertama seorang bapa, Ahmad Nazaruddin Abd Razak, 43, ketika bercerita mengenai masalah disleksia membabitkan kanak-kanak. 

Ahmad Nazaruddin, tidak lekas putus asa, cuba cari jalan penyelesaian dengan menghantarnya ke pusat bimbingan dan amalan itu berterusan hingga sekarang iaitu sekurang-kurangnya memperuntukkan empat jam seminggu untuk mengulangkaji pelajaran khususnya Matematik.



Ternyata usaha itu tidak sia-sia, kini anak kesayangannya itu berjaya memperoleh nombor sembilan daripada 40 murid di dalam kelasnya. 

“Alhamdulillah, sehingga kini prestasi anak saya semakin membanggakan dan dia juga menunjukkan semangat yang tinggi untuk berjaya. Mata pelajaran Matematik dan Bahasa Melayu juga sudah menunjukkan peningkatan yang positif. 

“Lebih membanggakan saya, dia mempunyai satu kepakaran menakjubkan iaitu boleh mengenal pasti model kereta termasuk enjin yang digunakan sama ada dalam negara mahupun luar negara. Dia pantas mengenali setiap jenis kereta menerusi majalah yang dibacanya,” katanya yang sering membelikan anaknya majalah berdasarkan minatnya itu. 

Berhadapan masalah sama, Rokayah Maton, 36, pula, beliau mengakui akibat kurang pengetahuan mengenai masalah disleksia menyebabkan terlewat mengenal pasti masalah yang dihadapi anak tunggalnya, Nur Fatihah Abd Khalid, 11. 
Katanya, ketika di Tahun Satu, guru kelasnya ada memberitahu mengenai masalah anaknya iaitu tidak dapat duduk setempat dan memberi tumpuan di dalam kelas, malah dia sering memperoleh markah rendah. 

“Apabila dia masuk Darjah Tiga pula, kami sekeluarga berpindah dan masalah yang dihadapinya tetap sama. Paling lama dia boleh beri tumpuan selama 10 minit saja di dalam kelas sehinggakan saya mengesyaki dia seorang kanak-kanak hyper-aktif. 

“Disebabkan masalah ini berlarutan, saya berjumpa dengan pakar kanak-kanak dan doktor mengesahkan dia menghadapi masalah disleksia. Lalu saya terus menghantar dia ke kelas bimbingan selama tiga bulan bermula awal Julai lalu,” katanya yang membayar sebanyak RM450 sebulan. 

Bagi Yusliza Md Yusof, 35, pula selepas menghantar anaknya, Mohd Firdaus Kamarudian, 8, ke kelas bimbingan disleksia, menampakkan perkembangan yang positif, sekarang sudah boleh membaca buku cerita pendek, menyelesaikan masalah Matematik, mempunyai keyakinan yang tinggi berbanding jika dibiarkan belajar di sekolah saja. 

“Dia juga mempunyai sifat kreatif iaitu suka melukis dan boleh menghasilkan apa yang disukainya menerusi kotak tisu,” katanya. 

Hakikatnya, tiga kisah mengenai anak disleksia itu, ini seharusnya dijadikan panduan dan teladan kepada ibu bapa lain supaya tidak bimbang jika mereka berhadapan dengan anak yang lembap. 

Memang ada sesetengah kanak-kanak yang gagal menonjol dalam bidang akademik atau sering mendapat keputusan kurang memberangsangkan bukanlah disebabkan sikap malas untuk mengulangkaji atau sememangnya dilahirkan tidak pandai. 

Memiliki kepandaian secara semula jadi adalah satu anugerah yang tidak ternilai, namun bagi yang kurang pandai dalam akademik, memerlukan usaha berlipat ganda supaya mempunyai taraf yang sama dengan murid yang lain. 

Namun, ibu bapa perlu lebih memahami situasi mengapa anak mereka begitu, meskipun sudah berusia tujuh tahun namun tidak mampu bertutur dengan fasih, menulis dengan baik dan memberikan fokus kepada apa yang diajar guru. 

Selain itu, sikap mereka yang sering bosan dan mengelak untuk mengulangkaji mata pelajaran juga perlu diberi perhatian kerana ia mungkin petanda anak itu menghadapi masalah pembelajaran iaitu disleksia. 

Disleksia bukannya satu penyakit ataupun kecacatan, tetapi ia gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami kanak-kanak. Ia merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal. 

Masalah ini dapat dikesan menerusi beberapa ujian dilakukan di bawah pengendalian ahli psikologi atau guru khas disleksia. Ia boleh dirawat tetapi tidak boleh diubati dan lazimnya akan diberi rawatan secara terapi untuk meningkatkan kemahiran linguistik, berfikir, dan sosial. 

Ramai kalangan selebriti terkenal dunia mencipta nama dalam bidang masing-masing, asalnya adalah penghidap disleksia, contohnya, Albert Einstein, Richard Branson, Walt Disney, Tom Cruise, Whoopi Goldberg, John Lenon, Lee Kuan Yew dan Leornado da Vinci. 

Presiden Persatuan Disleksia Malaysia (PDM), Sariah Amirin, beliau berkata, hampir 600,000 kanak-kanak di seluruh negara dikenal pasti menghadapi masalah ini hingga mengakibatkan mereka keciciran dalam pembelajaran. 

Katanya, daripada jumlah itu, hanya 800 keluarga saja yang mengambil inisiatif berdaftar dengan PDM kerana mereka memerlukan maklumat lebih tepat cara menangani anak Disleksia ini. 

“Kebanyakan ibu bapa yang memiliki anak istimewa ini kurang mengetahui saluran tepat dan pengetahuan untuk membantu anak mereka keluar daripada kepompong masalah ini. 

“Namun ada juga segelintir daripada ibu bapa yang tahu masalah dihadapi anak mereka, tapi cara didikan yang diberikan tidak mengikut kaedah disarankan PDM,” katanya ketika ditemui pada Seminar Membantu Ibu Bapa Menangani Anak Disleksia, baru-baru ini. 

Katanya, mana-mana ibu bapa yang mempunyai anak disleksia ini, mereka disarankan berjumpa pakar kanak-kanak dan seterusnya datang ke mana-mana pusat disleksia di seluruh negara dan mengambil kelas pendidikan yang bersesuaian dengan tahap mereka. 

Sebanyak lapan pusat pendidikan disleksia di seluruh negara antaranya di Ipoh, Taiping, Kuantan, Ampang, Titiwangsa, Langkawi dan Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment